FA Cup: Skuad B Chelsea Berpesta Sakan Tumpaskan Morecambe
MakanBola
Emirates FA Cup

Chelsea membuka aksi di pentas FA Cup dengan langkah kanan apabila tidak berdepan masalah menewaskan kelab kerdil, Morecambe.

Dalam sesi undian FA Cup 2024/2025 menyaksikan Chelsea dijadualkan berdepan kelab divisyen 3 England, Morecambe di pusingan ketiga dengan The Blues tampil selaku pasukan pilihan.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca membuat keputusan untuk merehatkan pemain-pemain utama dan menurunkan tonggak muda antaranya Romeo Lavia, Tyrique George dan juga Marc Guiu.

Ad

Seperti diramal, Chelsea jelas menguasai sebahagian besar aksi di Stamford Bridge dengan hantaran-hantaran pendek yang memaksa Morecambe berkampung di kawasan sendiri.

Pada minit ke-17, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti setelah bola mengenai tangan ketua pasukan Morecambe, Yann Songo’o sekaligus menceriakan para peminat Chelsea.

Ad
Ad

Walau bagaimanapun, tendangan oleh Christopher Nkunku diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Harry Burgoyne bagi memastikan gawang Morecambe masih kekal tanpa bolos.

Ad

Penyokong Chelsea akhirnya bersorak gembira apabila Tosin Adarabioyo menjaringkan gol pertama di minit ke-40 apabila sepakan bek tengah itu terbias dan masuk ke gawang lawan.

Separuh masa pertama tamat, Chelsea 1-0 Morecambe.

5 minit bersambung babak kedua, Nkunku menebus kecewa dengan meledak gol kedua buat tuan rumah apabila dengan tenang menolak bola muntah hasil rembatan Renato Veiga.

Adarabioyo sekali lagi mencipta nama selaku penjaring pada minit ke-70 apabila percubaan dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Burgoyne untuk kali yang ketiga dalam aksi ini.

Dua jaringan oleh Joao Felix dalam tempoh dua minit selepas itu seakan mematikan harapan Morecambe apabila rembatan memukau bintang Portugal itu terus menemui jaring lawan.

Tiada sebarang masa tambahan diberikan di hujung aksi namun itu tidak mengubah keputusan akhir di Stamford Bridge yang menyaksikan Chelsea menang 5-0.