Chelsea dan Crystal Palace sama-sama terikat seri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Setelah tumpas dua kali berturut-turut, Chelsea dijadualkan satu lagi kelab London, Crystal Palace di Selhurst Park yang masih segar dengan kejayaan ke atas Southampton minggu lalu.
Bintang berusia 18 tahun Chelsea, Josh Acheampong diberi kepercayaan oleh Enzo Maresca untuk mengemudi benteng pertahanan manakala Marc Guehi mengetuai barisan pemain Crystal Palace.
Seawal minit ke-14, Chelsea berjaya membuka tirai jaringan menerusi percubaan jarak dekat oleh Cole Palmer setelah menerima umpanan cantik daripada pemain sayap, Jadon Sancho.
Seakan tersentak, tuan rumah cuba bangkit mengatur gerak dengan Jefferson Lerma serta Eberechi Eze hampir meledak gol namun dinafikan oleh aksi cemerlang Robert Sanchez di gawang Chelsea.
Separuh masa pertama tamat, Crystal Palace 0-1 Chelsea.
Bersambung babak kedua, siri serangan dilancarkan oleh Crystal Palace dengan tandukan Chris Richard pada awal aksi hampir menerjah jaring sebelum ditepis keluar oleh Sanchez.
Pelawat turut memiliki peluang bagi menggandakan jaringan namun penyudah tumpul oleh Nicolas Jackson, Pedro Neto dan Enzo Fernandez membuatkan The Blues terus kecewa.
Gol penyamaan yang dicari tiba ketika permainan berbaki 8 minit hasil tampanan sempurna oleh Jean-Philippe Mateta sekaligus menceriakan ribuan penyokong Crystal Palace di stadium.
Aksi di Selhurst Park berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Saingan liga akan berhenti seketika bagi memberi laluan buat kempen Piala FA yang menyaksikan Chelsea bakal berdepan Morecambe dan Crystal Palace menentang Stockport.