Usaha Chelsea untuk merapatkan jurang dengan Liverpool tidak kesampaian apabila tewas 2-0 kepada Ipswich Town di Portman Road.
Selepas Liverpool meraih kemenangan 5-0 ke atas West Ham baru-baru ini, The Blues perlu meraih kemenangan untuk mengejar mereka. The Tractor Boys pula mahu bangkit selepas tewas 4-0 di tangan Newcastle United.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca memberi kepercayaan kepada penyerang Perancis, Christopher Nkunku. Pengendali Ipswich, Kieran McKenna pula memilih Liam Delap sebagai sandaran gol mereka.
Babak pertama menyaksikan The Blues ditimpa malang pada minit ke-10 apabila tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas Delap dijatuhkan penjaga gol Chelsea, Filip Jorgensen.
Graduan akademi Manchester City itu pantas menyempurnakan penalti untuk menyumbat gol ketujuhnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Delap hampir menggandakan kelebihan Ipswich empat minit selepas itu. Malangnya, percubaan beliau berjaya ditepis Jorgensen sebelum menerjah jaring.
Chelsea menyangka telah meraih gol penyamaan menerusi Joao Felix pada minit ke-26. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.
The Blues terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Ipswich tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Chelsea terus memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah. Felix hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 tetapi percubaannya dihalang sebelum melepasi garisan gol.
Tatkala The Blues terus mengasak, The Tractor Boys menggandakan kelebihan mereka enam minit selepas itu. Graduan akademi Chelsea, Omari Hutchinson memastikan tuan rumah memiliki kelebihan 2-0.
Maresca kemudiannya membuat empat pertukaran pemain termasuk memasukkan Jadon Sancho dan Nicolas Jackson.
Malangnya, pertukaran yang direncana pengurus Itali itu masih tidak membuahkan hasil. Ini memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Chelsea di tangga keempat liga dengan 35 mata, 10 mata di belakang Liverpool. Ipswich pula kekal di tangga ke-18 dengan 15 mata.
Sofascore memilih Delap sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Delap mengatasi cabaran rakan sepasukan, Christian Walton yang merekodkan 7.9 mata.
Selepas ini, The Tractor Boys bakal bertandang ke Craven Cottage untuk menentang Fulham pada 5 Januari 2025. The Blues pula bertandang ke Selhurst Park untuk menentang Crystal Palace pada 4 Januari 2025.