Liverpool mengakhiri tahun 2024 dengan kemenangan apabila membelasah West Ham United 5-0 di Stadium London.
Selepas menundukkan Leicester City 3-1, The Reds berpeluang melebarkan lagi kelebihan mereka di puncak liga. West Ham pula mahu melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam empat perlawanan.
Jarrod Bowen terus menjadi sandaran gol The Hammers. Trio Luis Diaz, Cody Gakpo dan Mohamed Salah terus menjadi pilihan Arne Slot untuk mencetak gol Liverpool.
The Reds hampir membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Salah selepas menerima hantaran Gakpo. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Perancis, Alphonse Areola.
17 minit selepas itu, giliran Diaz pula menguji Areola. Walau bagaimanapun, percubaan penyerang Colombia itu berjaya dinafikan penjaga gol The Hammers itu melepasi palang gol.
Gawang West Ham akhirnya bocor pada minit ke-30 menerusi Diaz. Selepas bola hantarannya terkena Konstantinos Mavropanos, ini memudahkan bekas penyerang Porto itu menyumbat gol kelapannya musim ini.
Tersentak, The Hammers mula mengasak untuk memburu gol penyamaan. Mohammed Kudus hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 tetapi rembatannya terkena tiang.
Dua minit kemudian, Gakpo menggandakan kelebihan The Reds. Penyerang Belanda itu pantas menyempurnakan hantaran Salah melepasi Areola.
Salah memastikan Liverpool memiliki kelebihan 3-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-44. Areola tidak berupaya menghalang rembatan deras penyerang Mesir itu daripada menerjah jaring.
Bersambung pada babak kedua, pengurus West Ham, Julen Lopetegui membuat dua pertukaran dengan memasukkan Niclas Fullkrug dan Jean-Clair Todibo.
Perubahan yang direncana jurulatih Sepanyol itu langsung tidak menggugat dominasi Liverpool pada separuh masa kedua.
Salah hampir menambah gol keempat Liverpool dua minit selepas separuh masa kedua bermula. Usaha bekas penyerang Chelsea itu tidak berhasil apabila dinafikan Areola.
Bek kanan England, Trent Alexander-Arnold terus menceriakan kem Liverpool dengan gol keempat pada minit ke-54.
Penyerang gantian, Diogo Jota memastikan The Reds meraih kemenangan 5-0 menerusi rembatan lencong pada minit ke-84.
Keputusan ini menyaksikan Liverpool mengutip 45 mata, lapan mata di hadapan pencabar terdekat, Nottingham Forest. West Ham pula kekal di tangga ke-13 dengan 23 mata.
Sofascore memilih Salah sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.8. Beliau mengatasi cabaran Alexander-Arnold dengan kelebihan 0.1 mata.
Walau bagaimanapun, Liverpool membayar kemenangan ini dengan harga mahal. Ini kerana Joe Gomez terpaksa disisihkan selama beberapa minggu akibat kecederaan hamstring selepas dikeluarkan pada babak pertama.
Selepas ini, The Reds bakal menentang Manchester United pada 6 Januari 2025. The Hammers pula akan bertandang ke Stadium Etihad untuk menentang Manchester City pada 4 Januari 2025.