Liverpool terus memperkukuh cengkaman di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Leicester City di Anfield.
Selepas meraih kemenangan 6-3 ke atas Tottenham Hotspur, anak buah Arne Slot memburu satu lagi kemenangan untuk menambah jurang mata mereka.
The Foxes pula yang dibimbing Ruud van Nistelrooy pula mahu mengakhiri kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan sejak mengalahkan West Ham 3-1.
Penyerang Uruguay, Darwin Nunez menjadi pilihan Slot untuk mengetuai jentera serangan The Reds. Patson Daka pula dibawa masuk menggantikan legenda Leicester, Jamie Vardy.
Separuh masa pertama menyaksikan The Foxes terlebih dahulu meraih gol pendahuluan di Anfield seawal minit keenam. Kabus bukan penghalang buat Jordan Ayew menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson.
Tersentak, Liverpool menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan. Andy Robertson hampir melakukannya pada minit ke-24 tetapi tandukannya terkena tiang.
Palang seakan menjadi penghalang buat Liverpool menjaringkan gol. Ini selepas rembatan lencong Mohamed Salah pada minit ke-45 terkena palang.
Tatkala Leicester menyangka mereka mendahului 1-0 sehingga rehat, Cody Gakpo memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Bersambung selepas rehat, The Reds semakin bernafsu memburu gol tambahan. Gol kedua mereka hadir empat minit selepas babak kedua bersambung.
Pemain tengah Argentina, Alexis MacAllister melakukan hantaran yang mudah disempurnakan Curtis Jones. Gol tersebut turut disahkan VAR selepas tiada kesalahan ofsaid dikesan.
Gakpo menyangka telah menyumbat gol ketiga The Reds pada minit ke-70. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Salah memastikan kemenangan Liverpool dalam genggaman dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-82. Ini gol ke-19 beliau dalam musim 2024/25.
Keputusan ini menyaksikan The Reds kekal berada di tampuk liga dengan 42 mata, tujuh mata di hadapan pencabar terdekat, Chelsea. The Foxes pula jatuh ke zon penyingkiran dengan 14 mata.
Sofascore memilih Cody Gakpo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Beliau mengatasi Salah dan MacAllister yang masing-masing mengutip 8.5 dan 8.1 mata.
Selepas ini, Liverpool bertandang ke Stadium London untuk menentang West Ham pada 30 Disember. Leicester pula akan menentang Manchester City pada 29 Disember.