FA Nepal Bakal Digantung FIFA?
MakanBola
FA Singapore

Persatuan Bola Sepak Nepal (ANFA) berdepan kemungkinan dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Nepal News melaporkan kemungkinan itu berlaku kerana ANFA dikenakan penggantungan selama tiga bulan oleh Majlis Sukan Negara Nepal (NSC) pada penghujung Mac lalu.

Penggantungan itu dibuat apabila kepimpinan ANFA berhasrat mahu mengadakan pemilihan awal badan induk itu. Langkah tersebut dicanang bagi menyediakan kestabilan jangka panjang buat ANFA.

Meskipun begitu, NSC melihat langkah tersebut bertentangan dengan undang-undang Nepal termasuk Akta Pembangunan Sukan Kebangsaan 2020.

Susulan itu, NSC mengenakan penggantungan ke atas semua ahli jawatankuasa ANFA termasuk presiden badan induk itu, Pankaj Bikram Nembang mengikut Seksyen 29 (2) akta sama.

Penggantungan tersebut bukan saja menyaksikan pemilihan ANFA dihentikan. Malah, NSC juga tidak akan menyokong dan mengiktiraf mana-mana aktiviti yang berkait dengan badan induk itu.

Susulan itu, FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghantar surat kepada NSC agar menarik balik penggantungan tersebut dalam tempoh tujuh hari. Surat itu dihantar pada 5 April lalu.

Sekiranya NSC gagal berbuat demikian, maka ANFA akan digantung. Ini kerana sebarang campur tangan pihak ketiga boleh membawa kepada penggantungan mengikut Artikel 14 dan 19 Statut FIFA.

Isu ini telah menjejaskan semua aktiviti bola sepak di Nepal. Ini termasuk pembatalan aksi persahabatan antarabangsa antara Nepal dan Hong Kong yang seharusnya berlangsung pada Mac lalu.

Sekiranya situasi ini berlarutan, ini juga boleh mengakibatkan Nepal terlepas peluang menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia 2030.