Soalan daripada salah seorang rakyat Malaysia mendapat perhatian wartawan terkenal, Fabrizio Romano berkenaan masa depan Michael Carrick di Manchester United.
Minggu lalu, Fabrizio Romano sempat membuka ruang buat peminat bola sepak seluruh dunia untuk bertanya sebarang soalan kepadanya terutamanya membabitkan khabar angin perpindahan pemain.
Peluang tersebut digunakan oleh seorang pengguna laman Thread bernama haiqalharris89 untuk bertanyakan tentang masa depan pengurus interim Manchester United, Michael Carrick.
Beliau ingin mengetahui siapakah calon pengurus yang bakal mengambil alih tugas hakiki selaku pengurus The Red Devils sebaik tugasan Michael Carrick berakhir dan soalan tersebut dijawab oleh Fabrizio Romano.
Wartawan yang terkenal dengan slogan ‘here we go’ tersebut memberitahu bahawa setakat ini masih belum ada kata putus mengenai masa depan Michael Carrick di Old Trafford musim hadapan.
Walau bagaimanapun, Fabrizio Romano melihat pengurus berusia 45 tahun itu memiliki peluang untuk kekal melatih Manchester United berkemungkinan besar atas faktor rekod hebat setakat ini.
”Siapa bakal menggantikan tempat (Michael) Carrick musim hadapan?” soal haiqalharris89.
”Masih belum ada keputusan mengenai (masa depan Michael) Carrick. Beliau (Michael Carrick) masih miliki peluang,” jawab Fabrizio Romano.
Sebaik soalan tersebut dijawab, bukan sahaja para peminat Manchester United yang teruja, malah warga Malaysia juga sama terkejut apabila wartawan terkenal dunia itu membalas soalan Haiqal.
”Mantap bro, Abang Fab (Fabrizio Romano) balas,” tulis xxrvuf0 di ruangan komen.
”Kira hebatlah Fabrizio Romano jawab soalan dari orang Malaysia,” kata muhdabrarsadiq.
”Apa amalan Haiqal sampai dapat reply ni, sungguh menyala wakil Malaysia,” usik babistar98 pula.
Jawapan dari Fabrizio Romano itu sedikit sebanyak turut memberi bayangan tentang masa depan Michael Carrick bersama Manchester United ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kini semakin hampir ke penghujung.
Setakat ini, Michael Carrick dilihat menjalankan tugas dengan cemerlang selepas merekodkan 7 kemenangan, 2 keputusan dan hanya satu kekalahan dalam 10 perlawanan yang diambil alih.
Prestasi positif ini turut membantu Manchester United naik ke tangga ketiga EPL dengan mengumpul 55 mata selepas 31 perlawanan dan dalam laluan terbaik untuk kembali layak ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL).