Pengulas Malaysia Di eFootball? Ini Jawapan Konami
MakanBola
KhairilAzwa/eFootball

Persoalan ramai mengenai kemungkinan pengulas dari Malaysia dimasukkan ke dalam aplikasi permainan eFootball akhirnya terjawab apabila pihak pengeluar, Konami, tampil memberikan penjelasan.

Permainan eFootball secara rasminya telah mengemas kini versi kelab daripada Liga Super Malaysia semalam susulan kerjasama bersama Malaysian Football League (MFL) yang dimeterai dalam satu majlis di ibu negara.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai peminat bola sepak tempatan nyata cukup teruja apabila kini berpeluang menggunakan kelab kegemaran masing-masing dalam permainan tersebut, sekali gus memberi pengalaman yang lebih dekat dengan realiti Liga Malaysia.

Di sebalik keterujaan itu, wujud juga harapan besar dalam kalangan peminat agar elemen pengulasan dalam Bahasa Melayu dapat dimasukkan bagi menambah lagi ‘feel’ tempatan serta meningkatkan pengalaman permainan secara keseluruhan.

Persoalan tersebut bagaimanapun telah disentuh oleh Penerbit Umum Konami Digital Entertainment, Junichi Taya yang mengakui pihaknya turut mengikuti perkembangan terhadap cadangan tersebut. 

“Berkenaan soalan tentang pengulas dari Malaysia, pihak kami (Konami) turut menantikan perkembangan lanjut ke arah itu,” jelas beliau, memberi bayangan bahawa perkara tersebut masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan.

Malaysia sememangnya memiliki ramai pengulas bola sepak berkaliber yang cukup dikenali dalam kalangan peminat tempatan antaranya Wan Khairil Azwa, Aiman Roshizam, Firdaus Musa, Hafizal Hamad serta beberapa lagi figura berpengalaman dalam dunia penyiaran sukan tanah air.

Dengan perkembangan positif hasil kerjasama antara MFL dan Konami ini, tidak mustahil pada masa akan datang pemain eFootball berpeluang menikmati pengalaman lebih imersif dengan kehadiran pengulas tempatan, sekali gus mengangkat lagi identiti bola sepak Malaysia ke pentas digital global.