Pemain sayap negara, Faisal Halim telah berkongsikan momen istimewa sewaktu berbual dengan pemain berkelas dunia Son Heung-min di atas padang.
“Saya memang terharu dia boleh bersembang dengan saya dengan cara yang profesional dan tidak sombong. Son Heung-min tidak angkuh walaupun dia bermain di liga tertinggi dan bersama kelab yang baik.”
“Jika nak dibandingkan dengan kita pasukan kebangsaan atau saya yang bermain untuk Selangor. Kemungkinan dia pun tidak tahu saya bermain dekat mana.” ujar Faisal kepada Astro Arena.
“Tetapi saya yang dah kenal dia yang bermain di tahap tertinggi, jadi saya rasa amat berbangga. Saya rasa kalau ada sejuta sekalipun belum tentu saya dapat bermain dengan dia.”
“Namun ini hasil kerja keras saya dari kecil, hasil kerja keras mak ayah saya yang selalu mendoakan saya dan juga keluarga saya. Ini rezeki Allah bagi bukan untuk saya tetapi untuk semua rakyat Malaysia untuk melihat perlawanan yang terbaik pasukan Malaysia pernah lalui.” jelasnya.
Faisal Halim turut sempat berkongsikan perasaan dan juga pengalaman peribadi beliau mewakili Harimau Malaya di Piala Asia 2023 yang menentang cabaran hebat Jordan, Bahrain dan juga Korea Selatan.
“Bukan mudah sebenarnya kerana kita kembali selepas lebih 40 tahun secara merit. Ini adalah pencapaian yang terbaik Malaysia.”
“Memang sangat sukar dan ini tahap tertinggi. Banyak lagi kita ketinggalan dan kita perlukan banyak lagi belajar untuk menjadi pemain dan pasukan yang lebih baik.”
“Saya rasa jurulatih Kim Pan-gon telah membuat kerja dengan cukup baik untuk pasukan Malaysia. Kita dah berusaha untuk beberapa tahun ini dan sekarang pasukan kebangsaan dalam landasan yang terbaik dan sedang meningkat.” tambah Faisal.
Faisal Halim merekodkan sejarah manis buat Malaysia apabila jaringan beliau membantu pasukan negara mengikat gergasi Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan E Piala Asia 2023.