Pemain sayap sensasi Malaysia, Faisal Halim menerima tepukan gemuruh oleh penyokong China di Stadium Phoenix Hill, Chengdu.
Aksi antara Harimau Malaya dan pasukan ke-80 dunia, China menyaksikan percaturan hebat Kim Pan-gon berjaya menyekat kemaraan tuan rumah.
Gol pembukaan Faisal Halim pada minit ke-11 bagaimanapun berjaya dipatahkan oleh rembatan deras Lin Liang Ming pada minit ke-36.
Kelibat pemain bertubuh kecil ini seringkali membayangi lawan menerusi kelincahan dan gandingan mantapnya bersama Akhyar Rashid dan Darren Lok di bahagian serangan.
Pemain berusia 25 tahun ini mencuri perhatian lautan penyokong China yang hadir ke stadium.
Menerusi klip yang dikongsikan oleh FAM, Faisal sempat berjalan ke arah penyokong China sebelum beliau menerima tepukan gemuruh penonton.
Faisal sempat memberi tundukan hormat kepada penyokong setelah tampil bertenaga pada aksi ini.
Beliau juga beraksi cemerlang ketika hampir-hampir mengejutkan gawang gol Naga Emas seawal minit ke-2.
Dua keputusan seri itu menyaksikan Malaysia kekal menghuni tangga ke-136 dunia dan menghampiri Filipina dengan perbezaan 0.15 mata sahaja.
Sebelum ini, Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan ke-94 dunia, Syria dengan keputusan 1-1.