Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim terpaksa melupakan hasrat membantu Malaysia untuk baki dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Ini selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan pemain sayap Selangor FC itu perlu menjalani pemulihan selama beberapa bulan.
Nama Faisal menjadi bualan ramai peminat bola sepak sejak semalam selepas beliau terkena simbahan asid oleh dua individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah terkenal di Lembah Klang.
Bekas pemain sayap Terengganu FC itu kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.
Selepas meninjau keadaan Faisal di hospital, beliau memaklumkan pemain sayap berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan bahagian tangan kiri, rusuk dan bahu.
Hamidin menjangkakan disebabkan tahap kecederaan Faisal yang serius, beliau memerlukan tempoh beberapa bulan untuk pulih.
“Saya kata kepada beliau, ini satu dugaan dan Insya Allah kaki beliau nampak tidak apa apa-apa masalah. Cuma bahagian rusuk, tangan dan bahu kiri beliau. Beliau kena dapatkan rawatan secepat mungkin daripada doktor tentang asid yang telah digunakan pada badan beliau.
“Dan kita kena mengambil tindakan secepat mungkin bagi membolehkan beliau mendapat rawatan sebaiknya untuk beliau cepat sembuh.
““Sudah tentu dia dalam keadaan sedih tapi Insya Allah dia berjiwa kental. Yang pentingnya saya katakan pada dia, lupakan seketika bola sepak untuk pastikan dia cepat sembuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman untuk Nadi Arena.
Berita ini dijangka memberi tamparan hebat kepada jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. Ini kerana Faisal merupakan antara tonggak utama skuad kebangsaan sejak beberapa tahun lalu.
Malaysia akan mengharungi baki dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan hadapan. Skuad negara bakal berdepan Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.