Pemain Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim menjadi tumpuan dunia bola sepak apabila ceritanya mula menjadi perhatian media antarabangsa termasuk media di England.
Baru-baru ini, media terkemuka United Kingdom iaitu BBC (British Broadcasting Corporation) telah menemubual sendiri Faisal Halim tentang insiden hitam yang pernah menimpa beliau tahun lalu.
Bagi Faisal sendiri, beliau tidak takut namun hanya tidak mahu perkara sebegitu (simbahan asid) berlaku lagi.
“Saya tidak takut, tetapi saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi. Jadi saya tidak keluar lagi. Setelah latihan selesai, saya pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama anak saya, isteri dan keluarga saya,” jelas Faisal seperti dilaporkan BBC.
Dalam masa yang sama, Faisal menceritakan tentang apa yang beliau rasai ketika menerima rawatan di hospital selepas insiden tersebut.
Faisal akui bahawa pada ketika itu, mentalnya jatuh teruk dan begitu juga dengan moralnya. Segalanya kini berbeza dan beliau tidak dapat senyum dengan baik.
“Setiap saat jika saya imbas kembali (keadaan ketika menerima rawatan di hospital), ia sangat sukar dan mental saya lemah, moral saya juga rendah.
“Banyak perkara telah berubah. Saya tidak boleh senyum dengan betul sekarang. Ada ketikanya saya rasa seperti tidak mahu bermain bola sepak lagi kerana takut,” katanya lagi.
Mengimbas kembali kejadian yang menimpa Faisal Halim, pemain sayap lincah itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli belah terkemuka di ibu negara pada 5 Mei tahun lalu.
Faisal terpaksa berehat panjang dan menjalani sesi pemulihan sebelum kembali semula dalam skuad Selangor selepas tiga bulan insiden berlaku.