Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus bersyukur dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) berhubung status perlawanan pasukan itu dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Selepas membaca keputusan yang dibuat MFL berhubung status perlawanan itu, beliau menyifatkan keputusan pengelola liga itu menganugerahkan tiga mata kepada Negeri Sembilan sebagai adil.
Malah, Faliq juga berpuas hati dengan sebab di sebalik keputusan yang dibuat Lembaga Pengarah MFL yang disifatkan sebagai terperinci.
“Saya berterima kasih kepada Ahli Lembaga (Pengarah) MFL kerana orang kata, mengadili perkara ini (status perlawanan Negeri Sembilan dan KL City) dengan sebaik-baiknya.
“Sebab kalau kita tengok penghakiman yang dikeluarkan sangat terperinci,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi pada Selasa.
Faliq turut melihat keputusan tersebut sebagai satu pengajaran kepada semua pihak bahawa penyokong dan liga merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pemegang taruh sukan bola sepak.
“Tetapi orang kata, kemenangan tiga mata ini bukanlah sesuatu yang diraikan. Tapi lebih kepada pengajaran dan menginsafkan kita bahawa kita ada tanggungjawab lebih besar terhadap penyokong dan liga,” tambahnya.
Selain memberi kemenangan 3-0 kepada Sang Rusa, MFL turut memutuskan untuk mendenda KL City RM50,000 dan bentuk ganti rugi yang akan diputuskan oleh pengelola liga berkenaan.