FAM Alami Kerugian Lebih RM30 Juta

fa malaysia FAM Alami Kerugian Lebih RM30 Juta
FA Malaysia
Ikuti Telegram MakanBola (3712)

Ketika banyak pihak menunding jari di atas segala kelemahan skuad kebangsaan sebelum ini kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tidak ramai yang ingin ambil peduli segala kesukaran yang dihadapi badan induk tersebut sejak tahun 2020.

Pandemik Covid-19 jelas memberikan kesan kepada FAM yang difahamkan mengalami kerugian dari segi penajaan dan kutipan tiket lebih RM30 juta seperti yang didakwa pihak Harian Metro.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan FAM memerlukan masa untuk memulihkan sumber kewangan semasa dan pihaknya sedang berusaha memulihkan keadaan.

“Kita (FAM) memang tiada kutipan langsung pada 2020 dan 2021 kerana tiada perlawanan yang boleh dianjurkan di Malaysia. Dengan tiada kewangan yang masuk selain penarikan diri pihak penaja, memang itulah kesannya daripada pandemik Covid-19.

“Memang ada banyak kerugian tetapi untuk tahun ini, kita sedang berusaha dan saya optimis kita boleh kembali pulih seperti sediakala jika semuanya berjalan dengan positif.

“Cuma kita memerlukan satu atau dua tahun untuk betul betul stabil dan dapat memberi keyakinan kepada penaja supaya isu seperti penangguhan atau pembatalan perlawanan tidak terjadi lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini pihak FAM menerima dana bantuan dari pihak kerajaan sebanyak RM10 juta bagi meringankan beban persatuan berkenaan untuk menghadapi saat-saat sukar ini.