Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyambut baik pandangan daripada Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Baru-baru ini, Tunku Ismail dalam satu hantaran memberi 3 cadangan buat Liga Malaysia dengan salah satunya adalah untuk mengasingkan Badan Pengadil dari bidang kuasa FAM.
”Kenalkan Financial Fair Play dengan segera, Badan Pengadil mesti bergerak bebas dan bukan di bawah FAM,” tulis Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman X.
”Tak puas hati juga, bayarlah pengadil luar negara. 11 tahun macam-macam alasan dan konspirasi,” tambah Baginda lagi.
Oleh itu, FAM menerusi satu kenyataan balas pada Jumaat menyambut baik teguran dan pandangan oleh Tunku Ismail dalam usaha Baginda untuk memajukan bola sepak negara.
“FAM menghormati teguran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta menghargai segala sumbangan yang telah baginda berikan dalam memajukan bola sepak di Malaysia.
Dato’ S. Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata cadangan Tunku Ismail berkenaan Badan Pengadil mestilah bebas dan bukannya di bawah FAM akan segera diperhalusi.
“FAM sangat menghargai segala teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail,” komen Dato’ S. Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM.
“FAM akan memperhalusi idea Baginda berhubung dengan penubuhan badan bebas untuk menguruskan pengadil-pengadil Liga Malaysia.”
“FAM menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka,” kata Dato’ Sivasundaram lagi.
Malah, Dato’ Sivasundaram turut mengulas cadangan Tunku Mahkota Ismail agar kelab yang masih tidak berpuas dengan keputusan pengadil untuk melantik atau membayar pengadil luar negara.
Menurut Dato’ S. Sivasundaram, pihak kelab boleh memohon untuk mendapatkan khidmat pengadil dari luar namun segala kos pembayaran dan tanggungan bukan lagi di bawah tugas FAM.
“Sekiranya ada pasukan yang tidak puas hati dengan prestasi pengadil tempatan, pasukan itu boleh memohon untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara.”
“Namun, bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri. FAM atau MFL tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara.”
“Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (USD),” jelas beliau.
Dato’ Sivasundaram turut mengulas perkembangan dan juga kemajuan Liga Malaysia amat bergantung kepada kedudukan kewangan yang stabil dan kukuh selain pengurusan pasukan yang terancang dan profesional.
“FAM akan sentiasa peka dan terbuka dengan semua idea yang membina sepertimana yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan terbaharunya itu,” katanya