Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memberikan penjelasan susulan laporan media berhubung pembatalan tiga kejohanan utama musim ini iaitu Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan serta Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.
Menurut badan induk bola sepak negara itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama termasuk penyelarasan semula kalendar pertandingan, komitmen pasukan bertanding selain aspek logistik dan infrastruktur.
FAM menegaskan bahawa pembatalan tersebut bukanlah satu langkah ke belakang dalam usaha membangunkan futsal dan bola sepak pantai di negara ini. Sebaliknya, ia disifatkan sebagai pendekatan strategik bagi memastikan perancangan lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
Dalam masa sama, FAM memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menilai semula struktur pertandingan bagi kedua-dua disiplin itu agar selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang serta standard saingan yang lebih kompetitif.
Badan induk itu turut memaklumkan pelan penstrukturan semula pertandingan futsal dan bola sepak pantai akan diperincikan selepas perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan dimuktamadkan.