Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melancarkan jersi baharu Harimau Malaya menerusi kolaborasi dengan Puma.
Kolaborasi ini diumumkan pada 1 Januari lalu bertepatan dengan revolusi baharu membabitkan skuad senior Malaysia. Puma dipilih menggantikan pembuat jersi sebelumnya, Nike.
Sehubungan dengan itu, Puma memperkenalkan jersi yang bakal digunakan Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Pelancaran jersi Harimau Malaya diadakan dalam satu majlis di Puma Flagship Store, Sunway Pyramid Mall hari ini. Beberapa pemain negara seperti Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Nooa Laine dan Ridzwan Bakri dipilih sebagai model jersi baru pasukan itu.
Majlis dihadiri Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Pengarah Urusan Puma Asia Tenggara & Oceania, Sanjay Roy dan Pengurus Negara Puma Malaysia, Steven Tan.
Sanjay menyifatkan kerjasama Puma dan FAM dapat mengembangkan lagi pengaruh jenama itu dalam arena bola sepak negara.
“Kerjasama dengan FAM ini menandakan satu peristiwa penting bagi PUMA kerana kami dapat mengembangkan kehadiran kami dalam bola sepak Malaysia.
“Kami berdedikasi untuk melengkapkan Harimau Malaya dengan produk inovatif yang memperkasakan mereka untuk mencapai matlamat sambil meraikan kuasa sukan ini untuk bersatu dan memberikan inspirasi,” katanya.
Hamidin menyifatkan kerjasama Puma dan FAM bakal membawa Harimau Malaya ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.
Jersi home pasukan itu kekal menggunakan warna tradisi kuning dan hitam. Jersi away pula menggunakan warna hitam dan putih.
Pemilihan warna hitam dan putih dilihat memberi sedikit kelainan kepada jersi away Harimau Malaya sebelumnya yang dihasilkan Nike. Jersi away Harimau Malaya yang digunakan pada 2022 hingga 2024 menggunakan warna hitam dan kuning.
Jesri baru Harimau Malaya direka menggunakan teknologi ULTRAWEAVE revolusioner Puma.
Teknologi tersebut membolehkan jersi ini direka untuk memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti dan ketahanan buat pemain bila beraksi tidak kira sama ada di gelanggang tempatan atau pentas global.
Majlis sama turut menyaksikan Peter Cklamovski diperkenalkan sebagai jurulatih Harimau Malaya buat kali pertama. Bekas jurulatih FC Tokyo itu tiba di Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.
Jersi ini dijangka digunakan buat kali pertama dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027. Ini kerana Malaysia bakal berdepan Nepal pada 25 Mac ini.