Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan Ketua Jurulatih, Pau Marti.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu kini bergelar pemangku Ketua Jurulatih selepas pemergian Kim Pan-gon yang menyertai Ulsan HD.
Beliau dalam satu sesi sidang media memaklumkan bahawa FAM sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan barisan kejurulatihan.
Baru-baru ini, FAM telah mendapatkan khidmat Dr. Xavier Valle, bekas doktor pasukan di FC Barcelona bermula pada tahun 2004 dan juga Edu Martinez yang juga pernah berkhidmat sebagai fisioterapis selama 12 tahun di FC Barcelona sejak 2013.
“Pelantikan dua pakar perubatan itu atas cadangan Pau Marti. Ini juga bagus untuk kita mendapatkan kepakaran dari luar negara.
“Pelantikan tenaga luar negara bukan menindakkan kepakaran tempatan. Itu permintaan daripada jurulatih dan saya mahukan yang terbaik buat pasukan kebangsaan,” kata Hamidin ketika ditemui di Wisma FAM.
Beliau juga mahu membentuk kepakaran terbaik berteraskan gabungan tempatan dan juga luar negara untuk bersama Harimau Malaya.
“Kita membentuk gabungan terbaik dalam skuad kebangsaan. Ada tenaga tempatan dan juga luar negara,” ujarnya.
Pau Marti akan mengharungi ujian pertama bertemu Filipina pada 4 September 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi Pestabola Merdeka 2024.