Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sanggup berbelanja besar sehingga RM200,000 untuk mendapatkan jurulatih baharu Harimau Malaya.
Pemergian Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon menyaksikan posisinya digalas oleh Pau Marti Vicente yang berjaya menjulang Pestabola Merdeka 2024.
FAM menerusi satu kenyataan oleh Presidennya iaitu Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa beliau sedia mencari pengganti yang lebih baik daripada pengendali Korea Selatan itu.
“Janji saya adalah, saya akan membawa pengganti yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon. Itu janji saya,” ujarnya dengan nada tegas.
Menerusi satu kenyataan terbaru oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi memaklumkan bahawa pihaknya sedia mencari pengganti terbaik pada posisi tersebut.
“Kita bukan (berbicara) soal gaji, kita nak sekarang ni jurulatih yang mampu bawa kita ke satu tahap lain.
“Kalau kita ada yang bergaji RM100,000 tak boleh bawa ke mana lebih baik bayar gaji RM200,000 tapi boleh bawa kita jauh,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Beliau yakin perbelanjaan adalah perkara biasa bagi memastikan keputusan positif berjaya diraih oleh skuad kebangsaan.
“Sebabnya kita kena berbelanja juga, skuad kebangsaan ni kita kena berbelanja banyak. Sekarang ini kita lihat beberapa (individu) telah menunjukkan minat untuk membantu pasukan negara.
“Bagi mendapatkan keputusan yang baik, mahu tidak mahu, kita kena berbelanjalah,” tambahnya lagi.
Skuad kebangsaan kini dalam persiapan di Auckland sebelum aksi menentang New Zealand pada 14 Oktober 2024.