Keinginan untuk melihat kemajuan dan kejayaan Harimau Malaya terus membara dalam kalangan pemimpin tertinggi FAM.
Perkara ini dizahirkan secara jelas oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu mencari ramuan terbaik buat skuad kebangsaan.
Pemergian Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon selepas selepas dua tahun enam bulan bersama Harimau Malaya mengejutkan ramai pihak namun Hamidin optimis kejayaan lebih cemerlang menanti Malaysia.
“Kalau ikutkan, saya boleh tak lepaskan dia. Tapi dia merayu dengan saya, dia kata nak minta lepas dan nak balik. Akhirnya, saya bersetuju pada hari Ahad sebelum saya bertolak ke Sepanyol pada malam Isnin.
“Kekesalan saya adalah beliau sepatutnya jujur dengan saya bahawa beliau mendapat tawaran lain,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Beliau juga memberikan kepercayaan penuh buat pemangku Ketua Jurulatih, Pau Marti untuk membimbing skuad negara sehingga akhir 2024.
Hamidin turut memberitahu bahawa beliau akan mencari pengganti lebih baik berbanding Kim Pan-gon untuk membimbing Harimau Malaya.
“Janji saya adalah, saya akan membawa pengganti yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon. Itu janji saya,” ujarnya dengan nada tegas.
Malaysia akan bertemu Filipina bagi aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 pada 4 September manakala akan perlawanan final atau penentuan tempat ke-3 pada 8 September menentang Tajikistan atau Lubnan.