Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berjanji akan mencari calon lebih baik sebagai pengganti Kim Pan-gon.
Terdahulu, jurulatih Korea Selatan itu membuat kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai jurulatih Harimau Malaya.
Pan-gon berbuat demikian atas faktor peribadi. Susulan itu, FAM melantik jurulatih Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya untuk menghadapi Pestabola Merdeka 2024 dan ASEAN Championship 2024.
Pan-gon kemudiannya kembali ke Korea Selatan untuk mengambil alih jawatan jurulatih juara K-League 1, Ulsan HD. Beliau dipilih sebagai pengganti Hong Myung-bo yang menerima tawaran mengendalikan pasukan kebangsaan negara itu.
Hamidin memaklumkan beliau sedia memberi peluang kepada Pau Marti membuktikan keupayaannya mengendalikan Harimau Malaya.
Pada masa sama, FAM juga turut melakukan penyelidikan untuk semua calon yang dilihat berpotensi menjadi pengendali baru skuad negara.
“Kita akan berikan peluang kepada Pau Marti (Vicente) sehingga Disember ini tetapi dalam masa sama saya sudah melakukan kerja rumah untuk menilai calon baharu.
“Janji saya adalah, saya akan membawa pengganti yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon. Itu janji saya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Salah satu nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut ialah bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo. Malah, sebelum Pan-gon dilantik pada 2022, nama Hang-seo turut dipertimbang FAM sebagai antara calon mengendalikan Harimau Malaya.
Dan kini, Hamidin mengesahkan nama jurulatih berusia 66 tahun itu berada dalam radar FAM. “Park Hang-seo? Ya, beliau salah satu calon kita,” tambahnya.
Harimau Malaya bakal mengharungi Pestabola Merdeka 2024 yang bakal membuka tirainya pada 4 September ini.
Lawan skuad negara pada hari itu ialah Filipina yang baru saja kehilangan khidmat jurulatih Belgium, Tom Saintfiet. Manakala juara bertahan, Tajikistan pula akan menentang Lubnan dalam satu lagi aksi kejohanan.