Lagenda Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengesan keputusan berbeza oleh pengadil pada perlawanan separuh akhir, ACC Shopee Cup, Buriram United berdepan JDT.
Perjuangan skuad Harimau Selatan pada aksi pentas Asia Tenggara itu tamat setelah tewas secara agregat 4-3 di tangan jaguh Thailand itu.
Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal memuji perjuangan JDT pada perlawanan tersebut namun tampil dengan beberapa pandangan berbeza mengenai keputusan oleh pengadil perlawanan.
Ini merujuk kepada situasi yang melibatkan pertahanan Buriram United, Sasalak Haiprakhon yang dikesan tertampan bola menggunakan tangan dalam kawasan penalti.
Menurut Farizal, beberapa keputusan yang melibatkan pengadil tidak disemak oleh Video Pembantu Pengadil (VAR) sekali gus menyebabkan keputusan dilihat tidak memuaskan ramai pihak.
“Pada situasi kedua, secara jelas kita boleh lihat bahawa bola terkena tangan. Beliau (pengadil) juga memiliki pembantu di dalam untuk menyemak (VAR).
“Akan tetapi, mengapa pada situasi pertama, pengadil boleh menyemak keputusan. Malah, beliau tidak memberi isyarat sedang berinteraksi dengan pengadil lain berbanding situasi kedua,” ujarnya menerusi analisis di Astro Arena.
Kekalahan ini menyaksikan hasrat JDT untuk melangkah ke pentas akhir tertangguh dengan Buriram United bakal menentang satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC.