Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke pentas final ACC Shopee Cup 2025/2026 tidak kesampaian apabila tewas secara agregat kepada wakil Thailand, Buriram United dalam aksi separuh akhir kedua penuh dramatik yang berlangsung di Chang Arena.
Buriram United kendalian Mark Jackson turun dengan barisan terbaik apabila mempertaruhkan Guilherme Bissoli sebagai penyerang utama, sementara Neil Etheridge menggalas tugas di gawang. JDT pula menagih sentuhan berbisa gandingan Jairo da Silva dan Bergson da Silva di bahagian serangan untuk memburu gol penting.
Menyedari ketinggalan 1-3 secara agregat, JDT bermula dengan rentak agresif penuh semangat juang sebaik wisel permulaan dibunyikan. Skuad Harimau Selatan terus melancarkan tekanan bertali arus ke kubu lawan, memaksa Buriram United lebih banyak bertahan dan berkampung di kawasan sendiri.
JDT hampir membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi percubaan jarak jauh Bergson dari luar kotak penalti, namun rembatan tersebut berjaya dinafikan penjaga gol Neil Etheridge.
Perlawanan pada minit ke-34 terhenti seketika apabila kedua-dua jurulatih dilihat bertikam lidah di tepi padang susulan kekasaran yang dilakukan terhadap Bergson sekali gus mencetuskan suasana tegang.
Ketika separuh masa pertama hampir tamat, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Marcos Guilherme dijatuhkan Etheridge dalam kotak penalti. Bergson yang mengambil tanggungjawab sebagai penendang tenang menyempurnakan sepakan tersebut, sekali gus meletakkan JDT di depan 1-0 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, JDT mengekalkan intensiti tinggi dan terus melancarkan serangan bertali arus, memburu jaringan penting bagi merapatkan jurang dan menyamakan kedudukan agregat.
Hasil usaha keras yang berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-61 apabila Marcos Guilherme meledak gol penting selepas menyudahkan peluang terhidang dengan tenang, sekali gus menewaskan Etheridge dan menghidupkan kembali harapan JDT dalam perlawanan.
Terikat 3-3 secara agregat, Buriram United mula mengubah corak permainan dengan lebih menyerang, sambil melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan penyerang lincah Suphanat Mueanta bagi menambah sengat di jentera serangan.
Pada minit ke-73, Buriram United hampir mendahului semula apabila Suphanat Mueanta memperoleh peluang keemasan menerusi percubaan berbahaya, namun percubaan tersebut berjaya dinafikan dengan aksi menyelamat cemerlang oleh Syihan Hazmi yang kekal tenang di gawang JDT.
Syihan Hazmi sekali lagi mempamerkan ketangkasan luar biasa apabila tiga percubaan berturut-turut dilancarkan ke arah kubu JDT pada minit ke-80. Namun, ketiga-tiga ancaman itu berjaya dinafikan hasil gabungan aksi cemerlang Syihan serta bantuan palang gol yang menjadi penyelamat.
Buriram United semakin meningkatkan intensiti serangan dengan rentak lebih agresif, memaksa JDT lebih banyak bertahan dan menyerap tekanan dalam usaha mengekalkan kedudukan perlawanan yang semakin sengit.
90 minit perlawanan akhirnya tamat dengan kemenangan 2-0 memihak JDT, namun kedudukan agregat terikat 3-3, menyebabkan aksi terpaksa diteruskan tambahan masa 30 minit bagi menentukan pemenang.
Masa tambahan pertama bermula dengan Buriram United meningkatkan tekanan ke arah kubu JDT dengan lebih kerap, manakala JDT pula dipaksa bertahan.
Hasil asakan tanpa henti, Buriram United akhirnya menemui gol pertama mereka dalam perlawanan ini apabila Kingsley Schindler melepaskan rembatan padu pada minit ke-98 yang gagal diselamatkan Syihan Hazmi, sekali gus mengubah kedudukan agregat kepada 4-3.
Tersentak dengan jaringan itu, JDT cuba membina serangan dengan lebih baik dengan turut membawa masuk pemain-pemain baharu seperti Mohamadou Sumareh dan Nazmi Faiz.
Ketika 15 minit pertama masa tambahan hampir berakhir, Buriram United menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Guilherme Bissoli dilayangkan kad merah kerana kekasaran terhadap Eddy Israfilov.
Aksi 15 minit pertama masa tambahan tamat dengan Buriram United berkelebihan agregat 4-3.
Bersambung babak kedua masa tambahan, JDT terus meningkatkan tekanan ke arah kubu Buriram United dengan serangan bertali arus, memburu jaringan penting bagi menyamakan semula kedudukan agregat.
Pada minit ke-108, Suphanat Mueanta hampir meledak jaringan menerusi satu serangan balas pantas yang berbahaya, namun Syihan Hazmi tampil tenang dan cemerlang menafikan percubaan tersebut dengan satu aksi menyelamat penting yang mengekalkan harapan JDT.
Buriram United F.C. sekali lagi dihukum apabila kehilangan seorang lagi pemain selepas Goran Causic dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap Nazmi Faiz, selepas insiden itu dikesan oleh pegawai keempat.
JDT terus menekan kubu Buriram United namun segala usaha mereka menemui jalan buntu sekali gus menyaksikan Buriram United ke pentas akhir.
Buriram United bakal berdepan Selangor FC di pentas final selepas wakil Malaysia itu berjaya menewaskan Nam Dinh dalam satu lagi aksi separuh akhir, sekali gus melengkapkan pertembungan akhir yang penuh tumpuan.