Pemain warisan Malaysia, Richard Chin memilih Farnborough sebagai kelab barunya selepas meninggalkan kelab League One, Charlton Athletic.
Selepas The Addicks memilih untuk tidak memperbaharui kontrak pemain berusia 21 tahun itu, ramai peminat bola sepak negara tertanya-tanya destinasi terbaru Richard.
Ada yang berspekulasi beliau akan kembali ke Malaysia selepas mengikuti sesi latihan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) di Kuala Lumpur pada tahun 2023.
Spekulasi tentang masa depan Richard akhirnya terjawab apabila Farnborough mengumumkan beliau sebagai rekrut terbaru pasukan itu untuk musim 2024/25. Mengikut maklumat Transfermarkt, Richard memeterai kontrak setahun bersama The Yellows.
“Bekas pemain muda Charlton Athletic ini merupakan pemain terbaru untuk memeterai perjanjian di Stadium Saunders Transport Community.
“Chin ialah graduan akademi The Addicks yang telah bermain bola sepaknya sejak tahap skuad Bawah 9 Tahun (B-9), ini akhirnya membawa kepada 18 penampilan senior untuk pasukan League One berkenaan.
“Selesa beraksi sebagai pemain pertahanan atau pemain tengah, Richard menimba pengalaman di Vanarama National League South sejak dua tahun lalu dengan beraksi secara pinjaman di Dartford dan Bath City di mana beliau baru-baru ini menjaringkan gol hanya dalam beberapa penampilan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Richard mengakui merasa teruja menyertai Farnborough. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengurus pasukan, Spencer Day kerana sedia memberi peluang buat dirinya beraksi untuk pasukan itu.
“Sejak dari awal, Spencer sangat berminat untuk membawa saya di sini. Saya pergi ke beberapa kelab sebelumnya dan semuanya tidak berjalan lancar.
“Saya fikir ada hikmah di sebalik semua ini kerana saya benar-benar perlu bermain dengan kerap, memberi seberapa banyak impak (di atas padang) dan memajukan karier saya.
“Saya mahu bermain setiap minggu, jelas saya perlu berjuang mendapatkan hak untuk kekal dalam pasukan. Saya sangat teruja berada di tempat yang saya mempunyai peluang yang bagus untuk bermain dan membuat kesan besar musim ini,” katanya.
Richard bakal menyarung jersi nombor tujuh sepanjang bersama The Yellows. Beliau bakal membuat penampilan untuk kelab itu dalam aksi pra-musim menentang Maidenhead United pada 3 Ogos ini.