Selepas V. Ruventhiran, giliran Fazly Mazlan pula mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor FC.
Ini selepas pengurusan Merah Kuning memaklumkan khidmat bek kiri berusia 31 tahun tidak dikekalkan untuk musim 2025/26.
“Mula mengorak langkah bersama Gergasi Merah pada musim 2022, Fazly telah mencatatkan 73 penampilan, menyumbang dua bantuan gol serta menjadi sebahagian daripada tunjang utama di bahagian pertahanan kiri untuk tiga musim.
“Aksi konsisten beliau membuatkan Fazly kembali mendapat panggilan Harimau Malaya buat kali pertama selepas empat tahun untuk kejohanan Piala AFF 2022.
“Terima kasih Fazly Mazlan untuk setiap detik perjuangan yang tidak ternilai, nilai persahabatan serta kekeluargaan yang tinggi. Jasamu dikenang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sepanjang tiga musim bersama Selangor, Fazly membantu pasukan itu bergelar naib juara Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA. Beliau turut membantu Selangor bergelar juara MFL Challenge Cup.
Fazly dilapor bakal menyertai naib juara Liga A1 Semi-Pro, Imigresen FC. Ini kerana wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan beliau antara enam pemain yang dilaporkan akan menyertai pasukan itu.
Selain Fazly, The Mighty Tigers juga mahu mendapatkan Fayadh Zulkifli, Azam Azih, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq dan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad.