Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) memcatatkan hatrik Piala FA apabila membenam Selangor dengan keputusan 6-1.
Skuad kendalian Hector Bidoglio beraksi cukup cemerlang untuk menamatkan perjuangan Gergasi Merah pada pentas akhir di SNBJ.
Aksi final ini merupakan kali ke-5 JDT ke final selepas menundukkan KL City tahun lalu manakala Selangor kali terakhir melangkah ke final pada tahun 2018.
Babak pertama berlangsung dengan begitu sengit dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan.
JDT terlebih dahulu di depan hasil sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-24 yang terus menerjah jaring menewaskan Sam Somerville.
Skuad Harimau Selatan menambah jaringan hasil serangan balas pantas sebelum penyudah tajam Arif Aiman Hanapi memberikan gol kedua JDT.
Aksi 45 minit pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak JDT.
Bersambung babak kedua, Selangor kembali rancak mengatur gerak dan hampir merapatkan kedudukan menerusi percubaan Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh.
Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Alvin Fortes melepaskan rembatan kencang menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-59.
JDT kembali selesa di hadapan selepas Bergson menjaringkan gol ketiga pasukan selang tiga minit.
Anak didik Bidoglio terus bermaharajalela apabila menambah dua jaringan masing-masing menerusi Juan Muniz dan Heberty.
Muniz melengkapkan hatrik dan jaringan keenam untuk kemenangan besar 6-1 ke atas Gergasi Merah.
Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
JDT menjadi pasukan pertama mencipta hatrik Piala FA sepanjang kejohanan itu dipertandingkan sejak tahun 1990.