Pemain sayap Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Fazrul Amir Md Zaman dilaporkan menjadi rebutan lima kelab Liga Super.
Meskipun pasukan Pantai Timur itu menghadapi musim suram dalam Liga Super, pemain sayap berusia 25 tahun itu sentiasa menjadi tumpuan penyokong.
Ini terbukti apabila Fazrul merekodkan 23 penampilan dan dua gol bersama Sang Kijang Emas untuk musim 2024/25.
Malah, persembahan bekas pemain Kelantan FC itu turut membantunya terpilih mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa pada tahun 2024.
Fazrul diberi peluang meraih empat penampilan antarabangsa oleh pengendali Harimau Malaya ketika itu, Pau Marti Vicente.
Kini, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan empat pasukan Liga Super mahu mendapatkan khidmat pemain yang mesra dipanggil Ghaddar itu.
Empat pasukan tersebut ialah juara Piala Malaysia 2021, KL City FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Penang FC.
“Pemain sayap lincah Fazrul Amir bakal menjadi rebutan dalam jendela perpindahan akan datang,” katanya di X.
“Difahamkan beliau telah mendapat perhatian daripada Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Apa yang dia perlukan hanyalah pasukan yang stabil untuk menyerlah sepenuhnya.”
Avineshwaran turut berkongsi maklumat terbaru juara MFL Challenge Cup musim 2024/25, Selangor FC turut berminat mendapatkan khidmat Fazrul.
Fazrul bukan satu-satunya pemain yang dilaporkan akan meninggalkan Kelantan DN. Penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil dilaporkan berada dalam radar KL City dan Penang.