FBI Siasat FA Argentina
MakanBola
Seleccion Argentina

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) kini berdepan siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung isu salah laku kewangan.

Marca melaporkan pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (US) dan FBI menyiasat sebuah entiti kewangan diketuai Presiden AFA, Claudio ‘Chiqui’ Tapia.

Ini selepas ahli perniagaan, Guillermo Tofoni membuat keterangan berhubung isu salah laku berkenaan. Tofoni mendakwa entiti bernama TourProdEnter LLC telah memindahkan wang sebanyak AS$260 juta (RM1.06 bilion) menerusi akaun lima bank US.

Walau bagaimanapun, hanya sebahagian wang saja yang dikesan ada kaitan dengan syarikat tersebut. AS$57 juta (RM232 juta) pula disalurkan ke akaun dan entiti yang kini disiasat pihak berkuasa US.

Dakwaan isu salah laku kewangan membabitkan AFA sudah bermula sejak tahun 2024. Kementerian Keselamatan Argentina telah meminta FBI menyiasat aliran wang AFA yang mencurigakan ke US tetapi ditolak atas alasan tidak cukup bukti.

FBI kemudiannya mula melancarkan siasatan selepas Tofoni memberi keterangan berhubung kes berkenaan. Keterangan beliau turut disokong dengan dokumen-dokumen bank yang dikaitkan dengan aliran wang mencurigakan AFA.

FBI juga tidak menolak untuk memanggil semua bekas pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Presiden Argentina, Javier Milei untuk memberi keterangan.

Tapia ketika ini berada di US untuk menyokong kempen Argentina di pentas Piala Dunia. Anak buah Lionel Scaloni akan berdepan Switzerland di peringkat suku akhir.