Advertisements
FC Seoul Mula Terkesan Dengan Kehadiran Jesse Lingard
Asia
MakanBola
FC Seoul

Bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard dilihat sudah mula memberikan impak segera kepada pasukan baharunya, FC Seoul.

Menerusi ciapan wartawan Korea Selatan, Lee Sungmo, tiket perlawanan melibatkan pasukan baru Lingard iaitu FC Seoul telah pun habis dijual dalam masa yang singkat.

Tiket perlawanan pertama pasukan baru Jesse Lingard, FC Seoul untuk musim baharu telah habis dijual dalam masa 2 minit dan 30 saat yang melibatkan 7,813 tiket,” tulis Lee Sungmo di akaun X beliau.

Lebih mengejutkan, perlawanan pertama ini bukanlah diadakan di gelanggang keramat FC Seoul, tetapi di laman lawan iaitu Gwangju FC.

“Perlawanan ini adalah aksi di tempat lawan buat FC Seoul yang akan bertandang ke Gwangju FC pada 2 Mac,” tulisnya lagi.

Meskipun mendapat sambutan yang hangat dari para penonton untuk menyaksikan kelibat pemain berusia 32 tahun ini, namun Lingard belum pasti akan diturunkan oleh jurulatih pasukan, Kim Gi-dong.

“Pada ketika ini, tidak diketahui sama ada Lingard boleh bermain permainan itu atau tidak.”

Jesse Lingard menyertai kelab Korea ini pada awal Februari yang lalu dan kini sedang rancak melakukan persiapan menjelang aksi pembuka tirai K-League 1 pada hujung minggu ini.

FC Seoul dijadualkan bertemu Gwangju FC di tempat lawan, Stadium Bola Sepak Gwangju pada Sabtu, 2 Mac ini bagi aksi pertama liga.

Musim lalu, FC Seoul sekadar menamatkan saingan K-League 1 di tempat ketujuh dengan 47 mata daripada 33 perlawanan.