Kapten Harimau Malaya, Dion Cools terus menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan J-League.
Ini selepas Cerezo Osaka memuat naik statistik pemain dalam perlawanan terbaru liga menentang Nagoya Grampus baru-baru ini.
Kemenangan besar 6-1 Cerezo ke atas Nagoya Grampus menyaksikan Cools menonjol dalam dua aspek iaitu terjahan dan kelajuan larian.
Bekas pemain Buriram United itu bukan saja berjaya melakukan empat terjahan bersih. Malah, Cools turut merekodkan kelajuan larian 33.8 kilometer (km) sejam.
Ini menunjukkan pemain berusia 29 tahun itu bukan saja menjadi aset di bahagian pertahanan. Malah, Cools juga memiliki kualiti membantu bahagian serangan jika diperlukan.
Bekas tonggak FC Brugge itu telah membantu Cerezo merekodkan empat kemenangan dalam lima aksi terakhir pasukan itu dalam J-League Wilayah Barat.
Cools dan Cerezo akan menutup kempen J-League Wilayah Barat dengan menentang Fagiano Okayama pada 24 Mei.
Setelah itu, Cerezo akan berentap dengan pasukan ketiga J-League Wilayah Timur untuk perlawanan penentuan tempat kelima/keenam liga.