Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney akhirnya membuka akaun jaringan bersama Nakhon Pathom United.
Selepas menyertai kelab Thai League 1 itu pada Januari lalu, penyerang berusia 21 tahun itu menunggu masa yang sesuai untuk menyumbat gol sulungnya bersama The King Tigers.
Kini, Tierney membalas kepercayaan jurulatih, Thongchai Sukkoki dengan meletakkan pasukan itu di hadapan ketika menentang Uthai Thani.
Penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyudahkan hantaran Valdo pada minit ke-60 melepasi penjaga gol pelawat, Boonyakiat Wongsajam.
Sekiranya keputusan ini kekal sehingga tamat perlawanan, ini bukan saja bakal menjadi kemenangan pertama buat Nakhon Pathom dalam empat perlawanan. Ini juga akan menjadi kemenangan kelima The King Tigers dalam liga musim ini.
Gol tersebut dijangka menyuntik semangat Tierney untuk terus merebut tempat dalam kesebelasan utama Nakhon Pathom.
Sejak menyertai The King Tigers, beliau telah merekodkan sembilan penampilan dan satu gol. Selain Tierney, seorang lagi pemain muda negara, Muhammad Abu Khalil turut berada dalam pasukan sama.