Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney bakal terus mewarnai saingan bola sepak Thailand sehingga akhir musim 2024/25.
Sebelum ini, Tierney menghabiskan separuh pertama musim secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama kelab Thai League 2, Chonburi FC.
Penyerang berusia 21 tahun itu merekodkan 13 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama The Sharks. Walau bagaimanapun, pengurusan kelab dilaporkan menamatkan kontrak pinjamannya.
Keputusan tersebut dibuat selepas Tierney memilih mewakili Harimau Malaya dalam saingan ASEAN Championship 2024. Selain beliau, Chonburi turut menamatkan kontrak pinjaman bek tengah England, Charlie Clough.
Kini, portal sukan Thailand, Think Curve melaporkan Nakhon Pathom United mahu mendapatkan khidmat Tierney.
Jurulatih Nakhon Pathom, Thongchai Sukkoki melihat kelibat penyerang Harimau Malaya itu bukan saja menambah sengat pasukan itu di bahagian serangan.
Malah, kehadiran Tierney bakal meringankan beban serangan yang digalas dua tonggak import, Valdo dan Taku Ito.
Selain Valdo dan Ito, Veljko Filipovic, Amirhossein Nemati, Lesley Ablorh dan Kwame Karikari turut menjadi tonggak import Nakhon Pathom.
Nakhon Pathom ketika ini menduduki tangga ke-15 Thai League 1 dengan sembilan mata selepas mengharungi 15 perlawanan.