Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana memberi peluang buat dirinya beraksi di Thailand.
Tierney kembali beraksi di negara itu apabila menyertai Nakhon Pathom United secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga akhir musim 2024/25.
Sebelum ini, penyerang kelahiran Glasgow, Scotland itu menghabiskan separuh pertama musim secara pinjaman dengan kelab Thai League 2, Chonburi.
Sepanjang berada di kelab berkenaan, Tierney merekodkan 13 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol. Walau bagaimanapun, pengurusan The Sharks memilih untuk menamatkan kontrak pinjaman beliau.
Ini disebabkan keputusan Tierney untuk menyahut panggilan Harimau Malaya dan beraksi dalam saingan ASEAN Championship 2024. Ini membuka ruang kepada Nakhon Pathom untuk mendapatkan khidmatnya.
Atas sebab itu, Tierney amat menghargai peluang yang diberi Tunku Ismail kepadanya agar dapat beraksi di bumi Thailand.
“Saya tak sabar hadapi cabaran baru bersama Nakhon Pathom United dalam Thai League 1. Terima kasih atas peluang ini, Tunku Ismail,” katanya di Instagram.
Sebaik hantaran tersebut dimuat naik, ramai kenalan terutama rakan sepasukan dari JDT dan Harimau Malaya memberi kata-kata semangat kepada Tierney. Antaranya Endrick dos Santos, Jimmy Raymond, Muhammad Abu Khalil dan Levy Madinda.
Malah, bekas jurulatih Tierney di Chonburi, Sinthaweechai Hathairattanakool turut mengucapkan selamat berjaya kepada beliau. “Selamat berjaya, Fergus,” katanya di ruang komen.
Tierney menjadi sebahagian daripada enam pemain baru yang dibawa jurulatih The King Tigers, Thongchai Sukkoki dalam tetingkap kedua perpindahan Thai League 1.