Advertisement
Nakhon Pathom Sambar Fergus Tierney
Transfer
MakanBola
Nakhon Pathom United FC

Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney sah menyertai kelab Thai League 1, Nakhon Pathom United secara pinjaman sehingga akhir musim 2024/25.

Perpindahan pinjaman beliau disahkan pengurusan kelab yang diberi jolokan The King Tigers itu. Tierney menjadi pemain keenam yang menyertai pasukan yang dibimbing Thongchai Sukkoki itu.

“Kelab Nakhon Pathom United telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan Fergus Tierney, penyerang berusia 21 tahun dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyertai pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Tierney beraksi untuk kelab Thai League 2, Chonburi untuk separuh pertama musim 2024/25. Beliau merekodkan 13 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol untuk The Sharks.

Walau bagaimanapun, tempohnya bersama Chonburi berakhir lantaran keinginan Tierney untuk membantu Harimau Malaya dalam saingan ASEAN Championship 2024.

Susulan itu, pengurusan The Sharks memilih menamatkan kontrak pinjaman beliau pada Disember lalu. Ini membuka ruang buat The King Tigers untuk mendapatkan Tierney untuk separuh kedua musim 2024/25.

Kehadiran beliau dijangka menambah pilihan Thongchai di bahagian serangan Nakhon Pathom. Selain Tierney, beliau memiliki Kwame Karikari dan Valdo untuk mengetuai jentera serangan.

Tierney bukan satu-satunya tonggak import yang disambar Nakhon Pathom. Sebelum ini, The King Tigers turut mendapatkan pemain pertahanan Iran, Amirhossein Nemati.

Penyerang muda Harimau Malaya itu berpeluang berentap dengan kapten dan orang besi skuad kebangsaan, Dion Cools. Ini kerana Nakhon Pathom dan Buriram United bakal bersemuka pada 26 Januari ini.