FIFA ASEAN Cup dijangka berlangsung sekitar September dan Oktober 2026.
Inside FIFA melaporkan penganjuran kejohanan tersebut telah mendapat kelulusan Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi mesyuarat pada 19 Mac lalu.
Mengikut perancangan, FIFA ASEAN Cup bakal diadakan sekitar September dan Oktober 2026.
Ini dilihat selari dengan perancangan Presiden FIFA, Gianni Infantino yang melihat kejohanan ini diadakan dalam kalendar antarabangsa FIFA.
Ini sekaligus membantu negara-negara ASEAN berpeluang meraih mata ranking penuh FIFA untuk FIFA ASEAN Cup.
Apa yang menarik ialah kejohanan itu bakal diadakan selang sebulan dengan satu lagi kejohanan berprestij ASEAN, ASEAN Hyundai Cup.
ASEAN Hyundai Cup bakal berlangsung pada Julai dan Ogos 2026, Ini kali pertama kejohanan itu diadakan pada pertengahan tahun dan bukannya akhir tahun seperti kebiasaan.
Malah, edisi 2026 dilihat sebagai satu keraian bagi meraikan ulang tahun ke-30 kejohanan berprestij itu.
Sekiranya perancangan ini mendapat lampu hijau, pasukan-pasukan rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia bakal merebut satu lagi trofi utama rantau tersebut pada 2026.