Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman ke atas Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
Ini selepas IFA dikesan melanggar pelbagai peraturan anti-diskriminasi terutama terhadap kelab negara itu, Beitar Jerusalem.
Beitar Jerusalem kerap membawa mesej diskriminasi terutama terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Al-Jazeera melaporkan badan induk itu dikenakan denda sebanyak CHF150,000 (RM750,000). Selain dikenakan denda dan amaran, IFA juga diarah memasang sepanduk anti-perkauman untuk 3 perlawanan.
IFA juga diwajibkan menggunakan satu pertiga daripada denda yang dikenakan untuk semua inisiatif anti-diskriminasi.
Walau bagaimanapun, FIFA memilih untuk tidak mengambil tindakan berhubung dakwaan kelab Israel beroperasi di Tebing Barat.
Ini kerana FIFA memberi alasan isu tersebut rumit dan merujuk Tebing Barat sebagai wilayah pertelingkahan antara Israel dan Palestin.
Keengganan FIFA berbuat demikian dibidas wartawan sukan Maghribi, Leyla Hamed. Ini kerana keputusan tersebut menyaksikan FIFA melanggar peraturan antarabangsa termasuk peraturan badan induk itu berhubung integriti wilayah.