Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kini telah mengiktiraf ASEAN Championship sebagai salah satu kejohanan kelas A.
Aksi yang bakal membuka tirai bermula 8 Disember ini menjadi antara kejohanan tumpuan di Asia Tenggara untuk merebut trofi berprestij.
Menerusi satu kenyataan oleh laman ASEAN Football, FIFA dilaporkan telah mengesahkan kejohanan Piala Mitshubishi Electric ASEAN sebagai satu kejohanan besar di dunia.
“FIFA telah secara rasmi mengesahkan bahawa Piala Elektrik Mitsubishi ASEAN 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 akan diiktiraf sebagai Perlawanan ‘A’ Antarabangsa FIFA.
“Hal ini bakal menyumbang kepada Kedudukan Dunia FIFA pada status Tahap 1,” jelasnya.
Perlawanan kelas A mewakili komitmen FIFA untuk menyeragamkan dan meningkatkan kredibiliti pengiraan Kedudukan Ranking Dunia FIFA.
“Perlawanan yang diklasifikasikan sebagai ‘A’ termasuk kejohanan utama seperti Piala Dunia FIFA, Piala Konfederasi, Euro UEFA dan Piala Asia AFC merangkumi kedua-dua kelayakan dan perlawanan akhir,” tambah kenyataan tersebut.
Hal ini bakal menyaksikan perlawanan kelas A perlu mematuhi beberapa peraturan bagi menepati piawaian antaranya ialah kedua-dua pasukan mesti menampilkan skuad senior kebangsaan.
Bukan itu sahaja, pengadil dan pembantu (penjaga garisan) mestilah pegawai yang disahkan FIFA termasuklah aksi mesti mematuhi peraturan FIFA iaitu selang minimum 48 jam antara permainan.
Laporan perlawanan dan senarai pemain juga mestilah diserahkan kepada FIFA dan AFC.
Walau bagaimanapun, pengiraan mata FIFA bagi perlawanan Piala ASEAN sudah mula dikira sejak diperkenalkan pada tahun 1996 ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger.
Malaysia akan membuka tirai berdepan Kemboja pada 8 Disember 2024 jam 6:45 malam di Phnom Penh.