FIFA Mula Panik Isu Hak Siaran Piala Dunia 2026
MakanBola
FIFA

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilaporkan mula panik berhubung isu hak siaran Piala Dunia 2026.

BBC News melaporkan China Central Television (CCTV) enggan membayar kos hak siaran berjumlah AS$300 juta (RM1.2 bilion) untuk kejohanan berkenaan.

Kos tersebut turut mencetuskan rasa tidak puas hati Presiden CCTV, Shen Haixiong. Haixiong menganggap cadangan kos siaran bukan saja melampau tetapi juga sikap tamak badan induk itu..

Susulan itu, FIFA dilaporkan bersedia mengurangkan cadangan kos siaran dari AS$120 juta (RM470 juta) hingga AS$150 juta (RM588 juta).

Meskipun begitu, CCTV hanya bersedia membayar AS$80 juta (RM313 juta) untuk hak siaran berkenaan.

Jika FIFA dan CCTV mencapai persetujuan sekalipun, bukan mudah untuk menarik minat peminat China mengikuti kejohanan itu. Ini kerana China tidak layak beraksi dalam Piala Dunia 2026.

Selain itu, dasar imigresen Amerika Syarikat (AS) dan waktu perlawanan yang disiarkan pada awal pagi juga mencetuskan kebimbangan.

Selain China, FIFA juga masih belum mencapai persetujuan dengan India berhubung penyiar rasmi Piala Dunia 2026. Media tempatan melaporkan persetujuan untuk perkara itu dijangka dicapai tidak lama lagi.