Filipina Bangkit Tewaskan Afghanistan

Filipina Afghanistan ASEAN Football Filipina Bangkit Tewaskan Afghanistan
ASEAN Football
Azim Noor @mohdazim45
9:12pm 12/09/2023

Filipina bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan pasukan ke-157 dunia, Afghanistan dalam aksi persahabatan antarabangsa hari ini.

Selepas seri 1-1 dengan Taiwan pada 8 September lepas, anak-anak buah Michael Weiss perlu menang bagi mengelak dipintas Malaysia yang kini di tangga ke-136 FIFA.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang jaringan. Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-12 menerusi penyerang KL City FC, Patrick Reichelt.

Reichelt cuba menanduk hantaran bola dari sebelah kiri tetapi percubaan beliau tidak tepat. Manakala Afghanistan pula menguji kecekapan penjaga gol Birmingham City, Neil Etheridge pada minit ke-30 menerusi Mohammad Walizada.

Bagaimanapun, percubaan lemah Walizada mudah ditangkap Etheridge. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Afghanistan memperkemas rentak permainan mereka. Hasilnya, mereka mendahului pada minit ke-65 menerusi pemain gantian Omid Popalzay.

Kelebihan pelawat bagaimanapun tidak bertahan lama. Sembilan minit selepas itu, giliran pemain gantian The Azkals, Sebastian Rasmussen pula mencipta nama sebagai penjaring.

Bekas pemain pertahanan Kelantan FC, Christian Rontini memastikan kemenangan buat Filipina dengan menanduk hantaran jauh pada minit ke-81.

Keputusan ini membolehkan Filipina meraih kemenangan kedua untuk tahun 2023 selepas menundukkan Nepal pada Jun lalu.