Thailand kempunan meraih kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama ASEAN Championship 2024 apabila tewas 2-1 kepada Filipina di Stadium Memorial Rizal.
Kedua-dua pasukan berharap dapat mengekalkan rekod tanpa kalah yang dikecapi dalam kejohanan setakat ini. Filipina turut memiliki misi memburu kemenangan pertama ke atas Gajah Perang sejak tahun 1972.
Gandingan Patrik Gustavsson, Suphanat Mueanta dan Supachok Sarachat menjadi pilihan jurulatih Thailand, Masatada Ishii. Albert Capellas pula memilih Bjorn Kristensen untuk mengetuai jentera serangan Filipina.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal.
Pemain tengah FC Guntersloh, Sandro Reyes hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit kelapan. Malangnya, rembatan pemain berdarah Filipina-Sepanyol itu berjaya ditangkap Patiwat Khammai.
Tujuh minit kemudian, Akarapong Pumwisat hampir memecah kebuntuan buat Thailand. Walau bagaimanapun, tandukan lemahnya berjaya disambar penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad.
Penyokong Filipina ceria apabila Reyes meledakkan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan Patiwat pada minit ke-21.
Tatkala tuan rumah menyangka mereka membawa kelebihan 1-0 sehingga rehat, Suphanan Bureerat memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Bersambung pada babak kedua, Gajah Perang membuat perubahan dengan memasukkan Nicholas Mickelson menggantikan Thitatorn Aksornsri.
Kawalan bola Filipina yang longgar menyebabkan bola berjaya dicuri oleh Suphanat pada minit ke-47. Malangnya, percubaan penyerang Buriram United itu terkena palang dengan percubaan susulan Supachok terlalu tinggi.
Ishii memasukkan Teerasak Poeiphimai dan Seksan Ratree menggantikan Suphanat dan Gustavsson untuk menambah kreativiti di bahagian serangan.
Thailand terus hampa apabila percubaan Akarapong dinafikan Kammeraad pada minit ke-81. Percubaan susulan pemain gantian, Worachit Kanitsribampen pula hanya melepasi bahagian tepi gol Filipina.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, bek tengah Lamphun Warriors, Kike Linales muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Filipina.
Kesungguhan Linares dan Suphanan diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Kedua-duanya mendapat markah 7.3, 0.1 mata di depan Zico Bailey dan Gustavsson.
Thailand dan Filipina bakal berentap buat kali kedua di Stadium Rajamangala pada 30 Disember. Pemenang aksi separuh akhir itu bakal bertemu sama ada Singapura atau Vietnam di final.