Skuad bola sepak Filipina melakar sejarah tersendiri apabila menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama ASEAN Championship 2024.
Ini kerana ini kejayaan pertama pasukan itu ke atas Gajah Perang sejak tahun 1972. Tahun tersebut menyaksikan Filipina menewaskan Thailand 2-1 dalam saingan Jakarta Anniversary Trophy (JAT).
Sejak itu, pasukan Asia Tenggara itu menghadapi kemarau kemenangan setiap kali bertemu Thailand di peringkat antarabangsa.
Ini termasuk kekalahan 3-1 di tangan Gajah Perang dalam saingan King’s Cup 2024 pada Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila Sandro Reyes dan Kike Linares menyumbat gol buat Filipina di Stadium Memorial Rizal semalam. Thailand membalas menerusi Suphanan Bureerat.
Pengendali Filipina, Albert Capellas menyifatkan detik tersebut sebagai detik paling membanggakan buat anak buahnya.
“Saya sangat bangga dengan kejayaan ini. Pada masa sama, saya juga gembira apabila penyokong datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada skuad kebangsaan Filipina,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.
Meskipun gembira dengan pencapaian tersebut, bekas jurulatih FC Midtjylland itu melihat ini sebagai satu permulaan buat Filipina.
“Kemenangan 2-1 dalam aksi pertama separuh akhir hanyalah satu permulaan (buat Filipina),” tambah jurulatih berusia 57 tahun itu.
“Selepas tiga hari, aksi timbal balik antara kedua-dua pasukan merupakan pertarungan sebenar. Filipina perlu jadi lebih kuat dan berusaha jadi lebih baik untuk aksi seterusnya.”
Thailand dan Filipina bakal berentap buat kali kedua di Stadium Rajamangala pada 30 Disember ini. Pemenang bakal bertemu Vietnam atau Singapura di final.