Filipina terpaksa melakukan perubahan pemain menjelang aksi Pestabola Merdeka 2024 dengan Malaysia.
Pasukan yang diberi jolokan The Azkals itu terpaksa menyisihkan pemain tengah New Mexico United, Zico Bailey dan bintang Muangthong United, John-Patrick Straus akibat kecederaan.
Keadaan ini menyebabkan jurulatih interim Filipina, Norman Fegidero memanggil Kristofer Reyes dan Uriel Dalapo sebagai pengganti. Ini disahkan menerusi perubahan senarai 22 pemain yang diumumkan Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) pada 2 September lalu.
Reyes merupakan tonggak utama bahagian pertahanan kelab Thai League 2, Lampang. Manakala Dalapo pula merupakan penyerang muda yang beraksi untuk kelab Davao Aguilas.
Sebelum itu, Filipina juga terpaksa melupakan khidmat bek tengah Levanger, Adrian Ugelvik. Ini selepas bek tengah berusia 22 tahun itu turut mengalami kecederaan.
Fegidero mengharapkan Reyes dan Dalapo dapat membantu The Azkals memberi tentangan sengit kepada Malaysia dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2024.
Ini ditambah dengan pengalaman Liga Malaysia (Liga M) yang dimiliki beberapa pemain pasukan itu termasuk penyerang KL City FC, Patrick Reichelt.
Malaysia dan Filipina bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September ini. Satu lagi aksi Pestabola Merdeka 2024 membabitkan Tajikistan dan Lubnan berlangsung pada hari sama.