Formula kejayaan bola sepak Malaysia kini menjadi rujukan negara Asia Timur.
Skuad kebangsaan baru sahaja menamatkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 di tangga ketiga sekaligus terlepas peluang layak ke pusingan seterusnya.
Pendekatan yang digunakan oleh pasukan bimbingan Kim Pan-gon dalam membentuk acuan terbaik hasil gabungan pemain muda, berpengalaman serta kacukan dan warisan mula membuahkan hasil.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Jurulatih Chinese Taipei, Gary White yang memuji gabungan pemain hasil acuan oleh Kim Pan-gon.
Jurulatih kelahiran England itu kini dalam usaha untuk mencari lebih ramai pemain warisan di Eropah untuk membantu misi skuad kebangsaan Chinese Taipei pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
“Ia sebahagian daripada perancangan kita untuk dapatkan pemain warisan berkualiti. Kami juga sudah menghubungi beberapa pemain dari Jepun dan USA. Chinese Taipei dalam proses untuk melakukan kerja seperti yang dilakukan oleh Malaysia kerana kami memerlukan pemain berkualiti.
“Namun begitu, kami tidak mahu seseorang yang tiada semangat nasionalisme, jelasnya White selepas perlawanan.
Harimau Malaya kini dalam perancangan untuk memenuhi permintaan pengendali kelahiran Korea Selatan itu sekiranya memiliki calon pemain warisan yang mahu diketengahkan dalam skuad negara.
Misi seterusnya buat skuad kebangsaan adalah aksi Piala AFF 2024 dan juga Kelayakan Piala Asia 2027 tahun hadapan.