Skuad futsal Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi sebelum terpaksa akur tumbang kepada Thailand dalam aksi ketiga kumpulan A Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.
Selepas tumbang kepada Vietnam pada Isnin, Malaysia wajib menewaskan Thailand andai ingin menghidupkan peluang ke separuh akhir manakala juara bertahan ini hanya memerlukan keputusan seri.
Kedua-dua pasukan menampilkan barisan terkuat dengan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dan Harith Naim Nasir menjadi sandaran pengendali skuad negara, Rakhpol Sainetngam.
Sementara pengendali Thailand, Miguel Rodrigo pula memilih untuk menurunkan kapten, Narongsak Wingwon dan Thetsak Charoenphong untuk merobek kubu pasukan Malaysia.
Awal permainan menyaksikan Malaysia berusaha menembusi gawang Thailand yang dikawal Charoenphong Prasansat dengan Ridzwan Bakri hampir meletakkan skuad negara di hadapan seawal minit kedua.
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit kelapan menerusi percubaan jarak dekat Tuah Eizlan Aminnudin. Malangnya, percubaan deras beliau pantas dinafikan Charoenphong.
Tatkala Malaysia memberi tekanan, penyokong tuan rumah bersorak gembira setelah Atippong Munplhai meledak gol pertama Thailand dengan satu rembatan deras pada minit ke-11.
Tersentak, pasukan negara cuba bangkit namun malang apabila Thailand terus menggandakan kelebihan menerusi penyudah Thanawat Koedbangrachan lapan minit kemudian.
Gol tersebut memastikan Thailand memiliki kelebihan 2-0 sehingga rehat separuh masa.
Kembali dari rehat, skuad negara tampil bersemangat dan berhasil merapatkan kedudukan pada minit ke-31 menerusi kapten, Abu Haniffa yang menanduk percubaan oleh Harith Naim.
Hasrat Malaysia mencatat keputusan seri tidak kesampaian apabila Therdsak Charoenphong menjaringkan gol ketiga untuk Thailand pada minit ke-34 untuk meranapkan impian negara.
Perlawanan di Terminal 21 Korat berakhir dengan keputusan Malaysia 1-3 Thailand.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga dengan 3 mata setelah tiga perlawanan manakala Thailand kini masih selesa mendahului carta kumpulan dengan 9 mata.
Aksi terakhir peringkat kumpulan bakal menemukan skuad negara dan Timor Leste manakala Thailand akan berentap bersama Vietnam untuk menentukan juara dan naib juara kumpulan.