Advertisements
Kejuaraan Futsal Asean: Malaysia Tumpas Di Tangan Vietnam
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia terpaksa akur tumbang di tangan Vietnam dalam aksi kedua peringkat kumpulan A Kejuaraan Futsal Asean 2024 pada Isnin.

Setelah cemerlang membelasah Brunei pada Ahad, pasukan negara kendalian Rakhpol Sainetngam turun pada aksi kedua peringkat kumpulan berdepan negara di ranking ke-34 dunia, Vietnam.

Skuad kebangsaan menampilkan barisan yang sama dengan Syawal Sabaruddin di pintu gol sambil Saad Abdul Sani dan bintang muda, Syahir Iqbal Khan bergerak di posisi Ala.

Dua tonggak utama Pahang Rangers, Tuah Eizlan dan Harith Naim pula ditugaskan bertindak selaku Pivot dan Fixo untuk pasukan negara memberi tekanan buat pemain Vietnam.

Permainan berlangsung amat sengit dengan Vietnam hampir mencipta jaringan pertama namun penjaga gawang negara, Syawal Sabaruddin tampil cemerlang menghalang gerakan itu.

Harith Naim berpeluang meletakkan pasukan kebangsaan di hadapan pada minit ke-6 perlawanan akan tetapi rembatan deras tersebut ditepis keluar oleh penjaga gol Vietnam.

Disiplin tinggi dan kekebalan benteng pertahanan kedua-dua pasukan menyebabkan skuad negara dan Vietnam terpaksa akur memasuki bilik persalinan tanpa sebarang jaringan.

Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-0 Vietnam.

Kembali dari rehat, gawang negara dibolosi menerusi Nguyen Thinh Phat pada minit ke-25 sebelum pengadil membatalkan jaringan tersebut atas dakwaan wisel belum dibunyikan.

Pada minit ke-27, Vietnam meledak gol pertama menerusi Tu Minh Quang yang menyempurnakan sepakan penalti setelah bola mengenai tangan pemain Malaysia, Danial Dain.

Pasukan kebangsaan bangkit mengatur gerak dengan Saad Sani dan Syed Aizad hampir menyamakan kedudukan namun penjaga gol Vietnam cemerlang menafikan percubaan itu.

Nguyen Tinh Phat mengubati kekecewaan setelah gol beliau dibatalkan sebelum ini dengan jaringan kedua Vietnam hasil tendangan yang gagal diselamatkan oleh Syawal Sabaruddin.

Aksi di Terminal 21 Korat berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Vietnam.

Saingan kumpulan A selepas ini menyaksikan skuad negara berdepan tugas sukar apabila bertemu tuan rumah, Thailand manakala Vietnam menentang Brunei pada Selasa.