Pengendali Vietnam, Diego Giustozzi melihat skuad Malaysia antara 5 pasukan pencabar yang hebat di Kejuaraan Futsal Asean 2024.
Kejuaraan Futsal Asean disertai oleh 9 buah negara di rantau Asia Tenggara dengan lima negara diketuai oleh tuan rumah, Thailand menghuni kumpulan A dan 4 lagi negara berada di kumpulan B.
Vietnam, Malaysia, Brunei dan Timor Leste diundi di dalam kumpulan A manakala Indonesia, Australia, Myanmar dan Kemboja menghuni kumpulan B.
Menurut Giustozzi selaku jurulatih Vietnam, terdapat lima negara termasuklah Malaysia yang dianggap pencabar dan mempunyai peluang untuk mara jauh di kejohanan ini.
”Saya lihat Vietnam, Thailand, Malaysia, Indonesia dan juga Australia adalah pasukan yang hebat-hebat belaka,” komen Giustozzi menurut laporan Vietnam Net.
“Kesemua pasukan memiliki peluang yang seimbang untuk layak (ke peringkat kalah mati) dan seterusnya memenangi kejuaraan ini,” kata beliau ketika sesi sidang media.
Tambah beliau, sudah tentu gelaran juara menjadi harapan beliau namun sasaran utama adalah untuk mencapai lebih lagi bersama anak-anak buahnya dengan keyakinan yang tinggi.
”Secara peribadi, saya mengharapkan gelaran juara tetapi sasaran saya bukan hanya untuk menewaskan lawan, saya mahu mencapai lebih lagi. Saya mempunyai keyakinan untuk melakukannya.”
Vietnam bakal membuka tirai kejohanan dengan bertemu Timor Leste pada Sabtu, 2 November manakala skuad futsal negara akan bertemu Brunei pada Ahad.