Bintang muda skuad futsal Malaysia, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan percaya pasukan itu bakal menunjukkan aksi terbaik di pentas Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.
Skuad negara yang dipimpin jurulatih Thailand, Rakhpol Sainetngam berharap dapat menebus kekecewaan gagal layak ke peringkat separuh akhir kejohanan edisi 2022.
Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama Thailand, Indonesia, Brunei dan Kemboja ketika itu terkandas di peringkat kumpulan.
Skuad negara merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan. Ini termasuk kekalahan di tangan negara jiran, Indonesia dengan keputusan 5-1.
Kini, edisi 2024 menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Vietnam, Brunei dan Timor Leste.
Dan sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan Futsal ASEAN 2024, skuad negara sudah melalui beberapa aksi persahabatan termasuk aksi menentang Indonesia pada 13 Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, skuad negara terpaksa menelan kepahitan apabila dibelasah anak buah Hector Souto 6-0.
Syahir mengakui kekalahan tersebut bukanlah sesuatu yang dimahukan para pemain. Ini kerana mereka sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang.
Atas sebab itu, bintang muda Selangor FC itu percaya Malaysia bakal mempamerkan aksi terbaik apabila Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 membuka tirainya nanti.
“Bagi saya persahabatan menentang Indonesia itu kami berusaha dan memberi saingan terbaik. Pasukan ketika itu memiliki tiga hari untuk latihan dan terus mengharungi aksi persahabatan.
“Dari segi persediaan itu tidak sempurna sepenuhnya tetapi kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam semua perlawanan.
“Satu aksi ke satu aksi kami cuba untuk mendapatkan semula momentum kami dengan sentiasa focus latihan pagi dan petang dan memberikan komitmen penuh untuk Kejuaraan ASEAN ini,” jelasnya kepada UltraSukan.
Skuad futsal Malaysia kini berada di Thailand untuk mengharungi dua aksi persahabatan. Malaysia bakal berdepan Australia pada 27 Oktober sebelum turun menentang Chonburi Bluewave pada 30 Oktober.