Malaysia membuka kempen Kejuaraan Futsal Asean dengan langkah kanan apabila menewaskan Brunei dengan jaringan besar dalam aksi pertama kumpulan A pada petang Ahad.
Setelah terkandas di peringkat kumpulan dalam dua edisi terakhir, skuad negara memulakan saingan kali ini dengan bertemu Brunei yang tumpas di tangan Thailand pada Sabtu.
Skuad kebangsaan membariskan gandingan Saad Abdul Sani dan Syahir Iqbal Khan di posisi Ala serta dua tonggak Pahang Rangers, Tuah Eizlan dan Harith Naim sebagai Pivot dan Fixo.
Turun berjersi serba kuning, skuad negara tampil cemerlang dengan jaringan pertama perlawanan menerusi tendangan kaki kiri Daniel Dain seawal minit keempat permainan.
Pada minit ketujuh, Ridzwan Bakri menggandakan kelebihan setelah menyambar bola muntah hasil percubaan Danial Dain yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Brunei.
Asakan bertali arus yang dilakukan oleh pasukan kebangsaan terus membuahkan hasil apabila rembatan deras Syahir Iqbal Khan terus membolosi gawang Brunei pada minit ke-11.
Separuh masa pertama tamat, Brunei 0-3 Malaysia.
Kembali dari rehat, Malaysia terus menambah derita Brunei dengan gol ke-4 menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Awalluddin Mat Nawi seminit bersambung babak kedua.
Seminit kemudian, Syahir Iqbal Khan sekali lagi melakar nama selaku penjaring dengan jaringan kedua peribadi yang juga gol kelima buat skuad negara hasil percubaan jarak dekat.
Dua jaringan pantas dalam tempoh seminit oleh Syed Aizad Daniel dan Abu Haniffa pada minit ke-25 dan 26 memastikan pasukan kebangsaan terus selesa dengan kedudukan 7-0.
Gawang pasukan Brunei yang dikawal oleh Nabil Maidin terus bocor untuk kali kelapan menerusi rembatan deras tonggak utama Selangor, Faris Johan yang terus menerjah ke jaring.
Gol daripada Ridzwan Bakri, Syahir Iqbal dan Faris Johan di penghujung aksi melengkapkan kemenangan besar buat anak didik Rakhpol Sainetngam ke atas Brunei dalam aksi ini.
Perlawanan di Terminal 21 Korat berakhir dengan keputusan 11-0 memihak Malaysia.
Saingan kumpulan A kini menyaksikan Thailand masih kekal di tangga teratas kumpulan manakala skuad negara berada di belakang dengan 3 mata dan Brunei di tangga tercorot.
Aksi peringkat kumpulan selepas ini bakal menemukan skuad negara dan Vietnam pada Isnin jam 4.30 petang sementara Brunei akan berdepan Timor Leste pada hari yang sama.