Gabriel Silva Penggempur Baharu Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu mengumumkan penyerang kelahiran Brazil, Gabriel Silva sebagai rekrut baharu skuad Sang Penyu.

Ketibaan Gabriel Silva diumumkan oleh pihak Terengganu FC menerusi sebuah hantaran di laman media sosial kelab untuk memperkenalkan tonggak berusia 28 tahun ini kepada para peminat.

”Selamat datang, Gabriel Silva,” umum Terengganu FC.

Gabriel Silva tiba di Pantai Timur untuk memperkuat jentera serangan Terengganu setelah tempoh lebih 3 tahun melakar nama di Kemboja bersama dua kelab lokal, Svay Rieng serta Angkor Tiger.

Kelab terakhir Gabriel Silva adalah juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC dan pemain kelahiran Rio de Janeiro ini mencatat 12 gol dan 9 bantuan jaringan dalam 40 penampilan musim lalu.

Malah, beliau juga membantu Svay Rieng muncul naib juara AFC Challenge League setelah mengharungi momen hebat sebelum akur tewas kepada FK Arkadag di perlawanan akhir.

Untuk makluman, Gabriel Silva juga pernah meledak jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika aksi menentang Terengganu dalam saingan Shopee Cup pada Ogos 2024.

Kehadiran beliau pastinya ditagih bagi membentuk rangkaian serangan yang berkualiti bersama pemain sedia ada dan juga seorang lagi peledak baharu Terengganu, Junior Ngong Sam.