Hasrat Terengganu FC melakar kemenangan dalam aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup tidak kesampaian apabila tewas mengejut kepada kelab Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng.
Terengganu berharap dapat melebarkan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di pentas Shopee Cup. Ini selepas mereka berjaya melakukannya dalam saingan Piala AFC 2023/24.
Trio penyerang berbisa Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ismaheel Akinade menjadi taruhan Tomislav Steinbruckner untuk merobek gawang The Blue Saber.
Malangnya, hajat Peteh meraih gol pendahuluan tidak kesampaian apabila dibolosi pada minit ke-12. Gabriel Silva menyempurnakan hantaran cantik Cristian Roque sebelum menewaskan Suhaimi Husin.
Svay Rieng terus menggandakan kelebihan mereka empat minit selepas itu. Pablo Augusto mengesan Suhaimi melepaskan bola muntah selepas berjaya menepis percubaan pasukan itu dari luar kotak penalti.
Tonggak import Brazil itu pantas menolak bola ke dalam jaring sebelum sempat dirampas oleh dua bek tengah Terengganu, Safwan Mazlan dan Shahrul Nizam Ros Hasni.
Dua gol tersebut memastikan Svay Rieng selesa mendahului sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu terus menggandakan asakan untuk merapatkan jurang gol dengan juara Cambodian Premier League itu.
Hasilnya, pemain tengah Filipina, Manuel Ott kembali menggamatkan SSMZA dengan gol pada minit ke-55. Gol tersebut memberi keyakinan kepada Peteh untuk memburu gol penyamaan.
Keceriaan kem tuan rumah tidak bertahan lama apabila Min Ratanak meledakkan gol ketiga The Blue Saber pada minit ke-86.
Terengganu terus memberi tentangan dengan harapan mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata. Safawi kemudiannya menjadikan kedudukan 3-2 menerusi penalti pada minit ke-91.
Tuan rumah menyangka mendapat penalti pada minit akhir permainan. Malangnya, keputusan tersebut dibatalkan pengadil, Wong Wai Lun selepas menyemak semula insiden berkenaan di monitor sistem bantuan video pengadil (VAR).
Pada akhirnya, Svay Rieng meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Peteh. Keputusan ini menyaksikan pasukan Kemboja itu menduduki tempat kedua di belakang Thanh Hoa.
Selepas ini, Terengganu bakal berdepan Thanh Hoa di SSMZA pada 25 September. Manakala The Blue Saber pula berdepan BG Pathum United pada hari yang sama.